Acara itu sepatutnya merupakan persidangan tiga hari yang menghimpunkan para penggubal dasar dan profesional industri untuk membincangkan bagaimana Asia boleh memacu peralihan tenaga. Walau bagainmanapun, perbincangan di Energy Asia 2023 didominasi oleh syarikat minyak yang mempertahankan rancangan mereka untuk mengembangkan pelaburan dalam pengeluaran huluan (upstream) bahan api fosil.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mewujudkan suasana persidangan. “Dunia memerlukan semakin banyak minyak, bukan semakin kurang, di samping juga perlu mengurangkan pelepasan,” kata Haithan Al Ghais, setiausaha agung bagi kartel penetapan harga dalam ucapan perasmiannya pada acara yang diadakan di Kuala Lumpur mulai Isnin (26 Jun).
Walaupun ahli OPEC “melabur dengan ketara” dalam tenaga boleh diperbaharui, minyak akan kekal sebagai “sebahagian penting” dalam campuran tenaga, kata Al Ghais. “Setiap ramalan berasaskan data yang saya lihat telah menunjukkan bahawa minyak tidak boleh diganti dan hal ini merupakan suatu dasar yang tidak akan dapat diubah.”
OPEC menjangka minyak akan mewakili bahagian terbesar campuran tenaga global menjelang 2045 dengan 29 peratus, dan campuran ini memerlukan “pengembangan tenaga besar-besaran,” kata Al Ghais. Menurut data OPEC, ini akan melibatkan peningkatan pengeluaran minyak kepada 100.6 juta tong bersamaan minyak sehari (mobe/d) berbanding 88.3 mobe/d pada 2021.
Pandangan ini turut dikongsi oleh pengeluar minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco, di mana presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Amin H Nasser menyatakan bahawa pesanan untuk minyak dari negara membangun semakin banyak dan berterusan. Pertumbuhan pesanan minyak adalah lebih daripada 2 juta tong sehari dan paras itu adalah “tinggi mengikut piawaian sejarah,” katanya.
Komen ketua-ketua industri minyak itu berbeza sekali dengan amaran yang bertentang dengan pengembangan industri bahan api fosil. Pada bulan Mac, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) Antonio Guterres mengulangi gesaan agar syarikat-syarikat minyak menghentikan semua pelesenan atau pembiayaan minyak dan gas baharu serta menggantung sebarang pengembangan rizab minyak dan gas sedia ada. Gesaanya mengemakan kenyataan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), yang mengatakan bahawa dunia ini amat memerlukan penurunan besar dalam penggunaan arang batu, minyak dan gas untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net zero emissions’ menjelang 2050 dan untuk mengelakkan bencana iklim.
Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC), dalam laporan terbaharunya, berkata bahawa gas rumah hijau yang dihasilkan oleh infrastruktur minyak dan gas sedia ada lebih daripada mencukupi untuk mendorong dunia melepasi titik puncak 1.5 darjah Celsius untuk pemanasan global.
Di persidangan itu, pemimpin-pemimpin industri yang mewakili kepentingan bahan api fosil berkata bahawa Asia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan populasinya semakin berkembang – dua trend yang akan memacu pesanan tenaga pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu, terdapat keperluan yang lagi besar bagi negara membangun di Asia untuk bergantung kepada minyak sebagai sumber tenaga yang terjamin dan mampu milik, kata mereka.
Daniel Yergin, naib pengerusi syarikat penyelidikan pasaran komoditi S&P Global, percaya bahawa minyak dan gas akan terus menjadi sebahagian besar daripada sumber tenaga global, walaupun campuran tenaga keseluruhan mengalami perubahan.
Nasser ragu-ragu sama ada “naratif peralihan tenaga popular” pada masa ini menggambarkan dengan secukupnya kepentingan Asia. “Dasar peralihan sedia ada cuba menangani kemampanan alam sekitar, tetapi isu kemampuan dan keselamatan tenaga yang sama kritikal kurang diberi penekanan.”
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasarnya, berkata, “Kemampuan masih menjadi kebimbangan utama, terutamanya bagi beberapa bahagian di negara Asia yang sedang membangun. Orang ramai tidak dapat melihat jauh ke masa depan, tetapi mungkin bergelut setiap hari untuk membayar bil atau mencari makan.”
Beliau menambah bahawa akitiviti pengurangan pelepasan karbon tidak sepatutnya mengorbankan pertumbuhan ekonomi, atau sebaliknya. Selain keperluan untuk beralih kepada tenaga bersih, Malaysia juga mesti memastikan bahawa dasar sedia adanya untuk mengurangkan kemiskinan, menyediakan pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan dan infrastruktur tidak akan terjejas, kata Anwar. Negara tersebut merupakan pengeluar minyak dan gas kedua terbesar di Asia Tenggara.
Anwar juga menekankan kepentingan gas asli dalam campuran tenaga Malaysia ketika beralih ke sumber tenaga yang kurang intensif karbon. Gas akan kekal sebagai bahan mentah tenaga paling penting di Malaysia dan akan bertindak sebagai “faktor penstabilan” apabila negara meningkatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta bahan api alternatif yang lebih bersih seperti hidrogen dan ammonia, sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 hingga 25 tahun akan datang, kata menteri ekonomi Malaysia Rafizi Ramli.
Indonesia pula, yang bergantung kepada arang batu, sedang menerokai laluan serupa ke arah tenaga boleh diperbaharui. Pada permulaannya, keperluan tenaga Indonesia akan disokong oleh gas asli cecair, sebelum beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, kata menteri tenaga dan sumber aslinya Arifin Tasrif. Beliau menganggarkan negaranya berpotensi menghasilkan kira-kira 3,000 gigawatt tenaga boleh diperbaharui, kebanyakannya melalui solar, tetapi peralihan ini memerlukan perlombongan mineral dan kerjasama daripada institusi kewangan dan perniagaan untuk menghasilkan infrastruktur yang berkaitan.
“Negara-negara Asia tidak menafikan kepentingan iklim. Malah, kami menunjukkan tanda positif untuk menerima peralihan tenaga. Tetapi kami perlu bergerak pada kadar yang berbeza,” kata Anwar.
‘Huru-hara tenaga’
Keengganan pelabur yang meningkat terhadap bahan api fosil memberikan impak yang besar kepada pengeluar minyak, malah “kekurangan pelaburan yang kronik” meletakkan keseluruhan sistem tenaga dalam risiko, kata Al Ghais dari OPEC.
“Untuk industri minyak, kami telah mendengar rayuan sepanjang beberapa tahun yang lalu supaya negara pengeluar memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan tenaga global yang stabil dan lestari. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami juga sentiasa mendengar gesaan supaya menamatkan pembiayaan dan projek minyak. Kedua-dua perkara ini amat bertentangan dengan satu sama lain,” katanya.
“Gesaan supaya tiada pelaburan baharu dalam projek minyak hanya akan membawa kepada keaadaan huru-hara tenaga. Kami memerlukan kejelasan tenaga, bukan kekacauan.”
“
Kami tidak mahu menghasilkan keadaan huru-hara tenaga, tetapi kami juga tidak mahu menghasilkan keadaan huru-hara iklim.
Peter Bakker, presiden dan ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Dunia untuk Pembangunan Lestari
Petronas, iaitu syarikat minyak nasional Malaysia, telah menyaksikan institusi kewangan menolak permintaan pembiayaan mereka, walau untuk membiayai usaha penyelidikan dan pembangunan ke arah pengurangan pelepasan, kata ketua pegawai eksekutifnya Tengku Muhammad Taufik.
Sebagai contoh, beberapa bank berpaling daripada membiayai usaha penyelesaian penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), dengan sebab penyelesaian aktiviti merupakan “alasan industri untuk menghalalkan penerusan pengeluaran bahan api fosil,” kata Taufik. Dia menyuarakan kekecewaan terhadap padangan beberapa pihak yang melihat syarikat bahan api fosil sebagai “punca semua kesan buruk apabila kita berbicang mengenai pengurangan pelepasan”.
“Kami mendengar seawal Persidangan Parti PBB ke-26 (COP26) bahawa AS$130 trilion aset dijanjikan ke arah peralihan tenaga di bawah Glasgow Financial Alliance for Net Zero (GFANZ). Tidak banyak lagi yang telah didengari dari segi pembayaran,” katanya.
“Sebaliknya, pengalihan wang itu kepada tenaga yang boleh diperbaharui, iaitu ruang di mana rangka kerja dasar tidak matang, telah menghadapi premium risiko dalam ekonomi sedang pesat membangun di mana tiada rekod prestasi. Jadi apa lagi pilihan yang kami ada?” tanya Taufik. “Saya menjangkakan bahawa syarikat minyak negara akan terpaksa membuat pilihan antara keselamatan dan kemampuan tenaga, dan kami akan memastikan ia mampu milik dan terjamin terlebih dahulu, dan bukannya (fokus pada) peralihan tenaga.”
Taufik menyeru institusi kewangan termasuk bank pembangunan pelbagai hala untuk mempertimbangkan semula peranan mereka dalam membiayai peralihan tenaga dan meneroka peluang untuk pembiayaan gabungan. “Wacana utama dikuasai oleh idealis tanpa celik tenaga, dan itu sedang menghentikan pembaharuan kewangan,” katanya.
Akibatnya, syarikat minyak telah memilih untuk melabur semula dalam perniagaan mereka sendiri. Saudi Aramco terus melabur dalam perniagaan huluannya untuk “membantu bertindak balas terhadap kekurangan pelaburan global yang membimbangkan dalam minyak dan gas,” kata Nasser. Pada masa yang sama, syarikatnya sedang mempergiatkan usaha untuk mengurangkan keamatan karbon huluan yang agak rendah dan meneliti produk tenaga rendah karbon termasuk hidrogen, ammonia dan metanol.
“Strategi kami…juga mengakui keperluan untuk peralihan material, termasuk penggunaan minyak dan gas yang tidak mudah terbakar dalam bahan yang lebih mampan yang merupakan bahan binaan kehidupan moden,” katanya.
Syarikat gergasi tenaga Perancis, TotalEnergies memperuntukkan AS$12 bilion setahun untuk minyak dan gas, termasuk projek lapangan hijau baharu. “Dalam industri ini, jika kita tidak melabur (dalam aset baharu) terdapat penurunan semulajadi sebanyak 4 peratus setahun (dalam pengeluaran),” katanya.
Pada masa yang sama, ia melabur sebanyak AS$5 bilion setiap tahun dalam usaha kemampanan, yang dihujahkan oleh Pouyanne sebagai “jumlah yang besar” memandangkan keutamaan sekarang ialah mencari aset dan bakat yang sesuai untuk mengembangkan industri.
“Tidak mungkin kita boleh berhenti melabur dalam sistem sedia ada (didorong oleh bahan api fosil) selagi kita belum membina sistem (tenaga boleh diperbaharui) baharu,” katanya. Selain itu, pelaburan berterusan dalam pengeluaran minyak diperlukan untuk menstabilkan harga dan mengelakkan kemarahan pengguna, kata Pouyanne.
Walau bagaimanapun, industri bahan api fosil tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya untuk menyahkarbon, kata Peter Bakker, presiden dan ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Dunia untuk Pembangunan Lestari.
Sebagai tindak balas kepada komen Al Ghais mengenai keaadaan huru-hara tenaga, dia berkata “Kami tidak mahu mencipta keaadaan huru-hara tenaga, tetapi kami juga tidak mahu mencipta keaadaan huru-hara iklim.”
Di rantau membangun seperti Asia di mana infrastruktur sedang dibina pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan pasaran maju, peluang inovasi untuk teknologi baharu sepatutnya lebih besar, kata Bakker.
“Jika industri minyak dan gas datang ke COP28 hanya dengan idea tentang pelepasan Skop 1 dan 2 (yang termasuk pelepasan langsung dan tidak langsung), ia akan hilang kelayakan kerana tidak cukup bercita-cita tinggi,” katanya. “Mereka perlu terlibat dalam pelepasan Skop 3 (yang tidak dikawal atau dimiliki oleh syarikat), yang merupakan bahagian permintaan persamaan, terutamanya pelepasan yang sukar dikurangkan.”
Persidangan COP28 akan menghimpunkan pemimpin dunia untuk berusaha ke arah matlamat iklim global, termasuk menangani pelepasan rumah hijau, pada Disember tahun ini. Ia diadakan di Emiriah Arab Bersatu yang kaya dengan minyak dan presiden persidangan itu, yang juga mengetuai syarikat minyak milik negara ADNOC, telah dikritik kerana gagal bersedia untuk tindakan iklim yang bermakna pada persidangan itu.
Satu lagi langkah penting untuk pengeluar dan perniaga bahan api fosil ialah penggunaan piawaian antarabangsa untuk pendedahan berkaitan iklim, khususnya piawaian yang baru dilancarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), tambah Bakker. Ini akan meningkatkan ketersediaan titik data berasaskan materialiti yang setanding yang boleh digunakan oleh pasaran modal dan agensi penarafan kredit untuk menilai syarikat, katanya.