Datuk Dr Abdul Ghaffar Ramli masih ingat pada hari beliau memandu kenderaan elektriknya; Renault Zoe bersama isteri, anak perempuan dan kakak iparnya ke majlis perkahwinan di Serendah, sebuah perbandaran di negeri Selangor. Waktu itu adalah pada tahun 2019 dan dia baru sahaja membeli kereta terpakai Renault itu. Perjalanan dari rumahnya di Bangi dan kembali semula adalah sepanjang 180 kilometer, iaitu lebih jauh berbanding jarak yang mampu dibawa oleh kereta elektrik miliknya, iaitu 140 kilometer sahaja.
Beliau singgah di stesen pengecas awam untuk mengecas bateri kenderaannya sebelum meneruskan perjalanan ke majlis perkahwinan. Dalam perjalanan pulang, Ghaffar tidak mahu mengganggu penumpangnya yang sedang tidur, jadi dia melangkau sebuah stesen pengecas dan terus memandu.
Semasa perjalanan balik ke Bangi, kereta Zoe memberikan dua amaran bateri lemah. Beliau hampir tidak sampai ke rumah pada petang itu, dengan hanya tinggal 3 peratus caj di dalam keretanya.
“Saya memandu sejauh dua kilometer terakhir tanpa penghawa dingin [untuk menjimatkan kuasa bateri],” kata Ghaffar, 68, yang merupakan ahli Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia.
Bekas ketua pengarah STRIDE (Institut Penyelidikan Sains & Teknologi untuk Pertahanan, sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia) memberitahu Eco-Business bahawa terdapat beberapa kejadian serupa di mana beliau hampir kehabisan bateri. Malahan, keretanya juga pernah memasuki “mod penyu”, yang mengehadkan kelajuan kereta itu dengan tujuan untuk memaksimumkan jarak.
Walaupun Ghaffar meletakkan pengalaman ini lebih kepada rasa terlalu yakin dengan kemampuan jarak perjalanan kereta elektriknya, dia berpendapat Malaysia tidak mempunyai stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) awam yang mencukupi, yang penting untuk meningkatkan penggunaan EV secara meluas dan mengurangkan “kebimbangan jarak jauh”. Stesen-stesen ini juga boleh membantu mengelakkan kemungkinan terkandas yang pernah beliau alami.
Kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju. Satu kajian mendedahkan bahawa kebimbangan terbesar rakyat Malaysia mengenai kenderaan elektrik berkuasa bateri ialah kekurangan pengecas awam.
Menurut Datuk Hanafi Sakri, pengarah kanan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti), Malaysia mempunyai kira-kira 900 stesen pengecas EV, seperti yang dilaporkan oleh Edgeprop. Sebagai perbandingan, negara jiran Singapura, kini mempunyai 3,600 stesen pengecasan untuk menyokong populasi dan saiz yang lebih kecil berbanding Malaysia.
Majoriti stesen pengecasan Malaysia terletak di Lembah Klang – yang meliputi ibu kota Kuala Lumpur dan bandar dan pekan di sekitarnya di Selangor – dan kawasan bandar utama di sepanjang pantai barat semenanjung Malaysia.
Ghaffar menggelar pantai timur semenanjung Malaysia sebagai “gurun EV”, di mana stesen pengecasan adalah sedikit dan terletak jauh di antara satu sama lain. Keadaan yang sama berlaku di negeri-negeri Malaysia di pulau Borneo. Semakan oleh Eco-Business menggunakan aplikasi PlugShare (platform awam yang menjejaki bilangan stesen pengecasan seperti yang dilaporkan oleh pengguna) mendedahkan bahawa pada setakat hari ini, hanya terdapat 15 stesen di Sarawak dan hanya satu stesen di Sabah.
Halangan penggunaan secara meluas
Selain infrastruktur pengecasan EV yang tidak mencukupi, terdapat beberapa halangan lain yang menghalang untuk meningkatkan bilangan kenderaan elektrik di jalan raya Malaysia.
Walaupun Malaysia hampir mencapai status negara berpendapatan tinggi dan pelepasan cukai kerajaan ditawarkan ke atas kenderaan elektrik, EV masih terlalu mahal untuk kebanyakan penduduknya. EV termurah yang dijual, Ora Good Cat buatan China oleh Great Wall Motors, berharga sekitar RM140,000 (AS$31,728), dan harga ini terlalu tinggi untuk kebanyakan rakyat Malaysia.
EV yang dipasang secara tempatan atau keluaran tempatan akan menurunkan lagi harga dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna, tetapi kedua-dua pengeluar kereta nasional Malaysia – Proton dan Perodua – pada masa ini tidak mempunyai kenderaan elektrik sepenuhnya dalam pilihan model mereka.
Petrol adalah murah di Malaysia kerana subsidi kerajaan yang telah lama djalankan, memberikan kurang insentif kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada EV. Pada 2022, Malaysia mempunyai harga petrol terendah di rantau Asia Pasifik (APAC).
Menurut Ghaffar, kos menggunakan stesen pengecas DC awam yang terbaharu juga agak tinggi. “Sesetengah stesen pengecas awam mengenakan bayaran mengikut jam kilowatt, ini tidak menjadi masalah. Tetapi sesetengah daripada stesen pengecas mengenakan bayaran mengikut minit. Itu akan menelan kos RM2 (US$0.45) seminit, bergantung pada kelajuan kereta untuk mengecas. Ianya agak melampau,” kata Ghaffar.
Galakkan daripada Kerajaan
Elektrifikasi secara meluas dilihat sebagai cara paling berkesan untuk menyahkarbonkan sektor pengangkutan Malaysia dan mampu membantu negara untuk mencapai cita-cita menjadi neutral karbon menjelang tahun 2050.
Tetapi pelaburan besar-besaran diperlukan dalam sektor EV untuk memenuhi sasaran tersebut. Menurut senario 1.5°C laporan “Malaysia Energy Transition Outlook” oleh International Renewable Energy Agency (IRENA), 76 peratus daripada semua kenderaan jalan raya di Malaysia perlu menggunakan tenaga elektrik menjelang 2050.
Laporan itu juga mengunjurkan bahawa 1.3 juta stesen pengecas perlu dipasang di negara ini menjelang 2050 untuk menyokong anggaran 38 juta kenderaan elektrik di Malaysia. Dalam tempoh terdekat, IRENA menganggarkan Malaysia memerlukan 150,000 stesen pengecas awam menjelang 2030, yang memerlukan pelaburan sebanyak USD$3.7 bilion.
Di bawah “Low Carbon Mobility Blueprint”, kerajaan Malaysia merancang untuk memasang 10,000 stesen pengecas menjelang 2025 dan kenderaan hibrid dan EV akan menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030. Pada 2022, terdapat lebih 15,000 unit enjin kacukan konvensional dan motor elektrik (plug-in hybrid), hibrid dan kenderaan elektrik penuh di jalan raya di Malaysia.
Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah meningkatkan usaha untuk menggalakkan penggunaan EV.
Semasa belanjawan yang dibentangkan pada 2023, kerajaan Malaysia memperkenalkan tiga langkah baharu untuk memacu pertumbuhan EV. Pengecualian cukai (sifar eksais dan sifar duti import) ke atas EV yang diimport sepenuhnya dan EV pemasangan tempatan dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga 31 Disember 2025 (untuk EV yang diimport sepenuhnya) dan sehingga 31 Disember 2027 (untuk EV pemasangan tempatan). Terdapat juga pelanjutan pelepasan cukai untuk komponen EV yang dipasang secara tempatan.
Dalam kajian Maybank, penganalisis Liaw Thong Jung berkata bahawa langkah paling ketara dalam belanjawan adalah pelepasan cukai yang lebih lama diberikan kepada EV yang dipasang secara tempatan. Menurut Liaw, langkah ini akan menarik pelaburan baharu untuk EV CKD (dirobohkan sepenuhnya, atau dipasang secara tempatan) di Malaysia, membantu memastikan segmen automotif Malaysia relevan dengan landskap yang berubah pantas dan memudahkan pembinaan ekosistem EV.
Terdapat ekosistem besar yang menunggu untuk dibangunkan, termasuk menetapkan piawaian pengecasan, pembuatan bateri dan membangunkan sistem pengecasan. Berminat untuk meneroka pasaran yang semakin berkembang, anak syarikat tenaga bersih Petronas Gentari dan syarikat utiliti tenaga nasional Tenaga Nasional Berhad baru-baru ini telah menyediakan perkhidmatan pengecasan kepada pemilik EV.
“
Malaysia perlu merangka agenda jangka panjang dan mampan untuk membangunkan ekosistem e-mobiliti.
Liaw Thong Jung, penganalisis, Maybank
Datuk Phang Ah Tong, pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, percaya Malaysia mempunyai kelebihan dalam membangunkan komponen dan sistem kritikal EV secara tempatan.
“Saya rasa kita sangat kukuh,” kata Phang. “Jika anda ingin membangunkan komponen kritikal dan pembuatan sistem tempatan, lebih banyak usaha diperlukan untuk memacu syarikat secara khusus. Ia perlu melangkaui pengecualian cukai dan memberi status Perintis kepada firma. Pendaya seharusnya turut terlibat”
Taraf Perintis ialah insentif dalam bentuk pengecualian cukai di Malaysia, yang diberikan kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam aktiviti dan sektor yang digalakkan oleh kerajaan negeri.
Sejurus selepas kerajaan mengumumkan faedah berkaitan EV, muncul satu lagi pembangunan yang berpotensi tinggi. Pada Mac 2023, kerajaan Malaysia memberikan kelulusan kepada Tesla, syarikat EV gergasi AS, untuk mengimport kenderaan elektrik bateri (BEV) nya ke Malaysia.
Langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kepimpinan Global BEV negara yang bertujuan untuk meningkatkan permintaan kenderaan elektrik di Malaysia. Di bawah program itu, Tesla akan menubuhkan ibu pejabat, pusat jualan dan pusat perkhidmatan di Malaysia. Ia juga akan memasang pengecas ultra-pantasnya, mengupah tenaga kerja tempatan, melatih pelajar, bekerjasama dengan institusi akademik dan bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk membangunkan ekosistem untuk infrastruktur pengecasan.
Usaha berterusan diperlukan
Walaupun kemasukan Tesla ke dalam pasaran Malaysia adalah positif dalam jangka pendek, lebih banyak langkah diperlukan untuk memastikan kenderaan elektrik berdaya maju pada masa hadapan.
“Malaysia perlu merangka agenda jangka panjang dan mampan untuk membangunkan ekosistem e-mobiliti,” kata Liaw dalam laporannya.
Bagaimanakah EV boleh menarik minat lebih ramai pengguna di Malaysia?
Ghaffar berpendapat selain menurunkan harga EV, menghapuskan subsidi petrol juga boleh menjadi permulaan yang baik untuk mendorong rakyat Malaysia ke arah kenderaan elektrik.
Beliau berkata Malaysia juga boleh memperkenalkan tarif elektrik di luar puncak untuk pengguna domestik. Ia boleh menjadikan pengecasan EV di rumah yang lebih murah pada waktu malam, dan menarik minat pengguna yang masih ragu-ragu untuk bertukar kepada kenderaan elektrik.
Sebagai tambahan kepada polisi dan peraturan, Ghaffar berpendapat bahawa untuk menarik rakyat Malaysia menggunakan EV, lebih banyak usaha diperlukan untuk menyebarkan kesedaran tentang faedah kenderaan elektrik – dan terdapat banyak faedah menggunakan EV.
Selain lebih senyap dan tidak mengeluarkan bahan pencemar berbahaya, mungkin tarikan terbesar kenderaan elektrik ialah ia lebih murah untuk diselenggara berbanding kenderaan ICE (enjin pembakaran dalaman) – tiada palam pencucuh, minyak, penapis atau tali sawat untuk ditukar. Pad brek juga tahan lebih lama hasil dari pengunaan brek regeneratif.
Ghaffar menganggarkan bahawa sebuah kenderaan ICE akan menelan kos RM1,000 (AS$226) untuk diservis pada selang masa 10,000 km. “Dengan kereta [EV] ini, saya membelanjakan RM200 untuk servis pada 10,000 km,” katanya. Dia juga menolak kebimbangan tentang hayat bateri yang singkat. Beliau berkata Renault Zoe dia yang berusia 9 tahun masih mempunyai kapasiti bateri melebihi 80 peratus.
Menurut Phang, pasaran EV di Malaysia pada masa ini masih sangat “didorong oleh polisi” dan insentif perlu ada dalam pasaran untuk memacu penggunaan, memandangkan tanpa subsidi, keuntungan sektor itu sekarang masih sangat rendah.
Beliau berkata dengan dorongan EV, terdapat juga keperluan untuk menilai dan mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP) secara holistik untuk memastikan penjajaran.
Phang berkata bahawa pembekal pasaran enjin pembakaran dalaman akan ditolak keluar kerana ia mempunyai perhubungan songsang dengan pertumbuhan EV. Kerajaan perlu memastikan bahawa penghapusan secara berperingkat dilakukan dengan betul. Phang menambah: “Fokus kita mesti betul, pembekal perlu membuat peralihan.”
Liaw membuat kesimpulan yang sama tentang masa depan sektor automotif Malaysia. Seperti yang beliau nyatakan dalam laporan penyelidikan Maybank: “Peralihan daripada ICE kepada EV adalah aliran mega yang tidak dapat berpatah balik.”